Maran adalah sebuah Bandar kecil yang terletak di daerah tengah Negeri Pahang Darul Makmur. Pada mulanya, ia merupakan sebuah perkampungan yang mempunyai bilangan penduduk Cina yang kecil. Penghuni berbangsa Cina yang berhijrah dan menetap di sini berganding bahu meneroka hutan-rimba untuk menjadikannya sebuah penempatan pekan kecil. Mereka bertungkus-lumus dan bekerja kuat untuk menyara kehidupan mereka. Apabila kehidupan beransur baik dan cerah, berpegangkan kepada prinsip dan amalan budaya masyarakat Cina yang mementingkan pendidikan anak bangsa, maka para budiman yang berhati mulia mulai merancang untuk mendirikan sebuah sekolah Cina. Keadaan serba kekurangan yang ditempuhi pada masa itu samada dari segi tenaga dan keruncingan kewangan menyebabkan usaha dan cita-cita murni ini menemui pelbagai rintangan dan halangan. Berkat ketabahan dan kegigihan serta usaha berterusan akhirnya membuahkan hasil yang bernas untuk dijadikan tunggak kepada SJK (C) Maran pada hari ini.
Pada awal tahun 1955, En. Wai Kam Li, En. Chew Li, En. Tan Kim, En.Lim Kim Chuan, En. Liong Chiu, En.Ui Xie Bun, En. Li Hoi Hong, En. Loh Pin Fui, En. Li Xan, En. Chong Chin dan En. Liu Yie Mei seiring memandang serius terhadap gejala muda-mudi orang Cina yang suka melepak dan berkelakuan tidak tentu arah yang akan membawa mudarat kepada Bangsa dan negara akibat ketiadaan bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Justeru itu, sebuah Lembaga Pengurus Sekolah yg dipengerusikan oleh En. Liew Jian telah ditubuhkan untuk membuat persiapan ke arah meneruskan usaha untuk mendirikan sebuah sekolah Cina untuk anak-anak Cina. Pada mulanya, pelbagai kesukaran dihadapi seperti bilangan murid yang kurang di samping kesulitan dari segi kewangan dan kekurangan kakitangan. Ini menyebabkan sekolah ini tidak berupaya mendirikan bilik darjah untuk kegunaan sendiri dan terpaksa mengendalikannya pada sesi petang dengan meminjam bilik darjah daripada sebuah sekolah Kebangsaan yang berhampiran.
Setelah menerima kelulusan daripada pihak Jabatan Pendidikan, pelajar mulai bersekolah secara rasmi pada 12-09-1955. Guru besar yang pertama bertugas ialah En. Song Sin Hua dengan bilangan murid hanya 21 orang sahaja.
Setelah memperolehi kemudahan pinjaman bilik darjah, maka ini membuka peluang kepada anak-anak bangsa Cina mendapat pendidikan buat sementara waktu. Walau bagaimanapun, cara ini didapati menimbulkan sedikit kesulitan kerana dua sekolah berkongsi di bawah satu bumbung. Maka, untuk rancangan jangka panjang, pihak Lembaga Pengurus Sekolah berikhtiar dengan melancarkan kutipan derma untuk tabung membina bangunan sekolah dan berjaya mendapat sumbangan sebanyak RM4,000. Walau bagaimanapun, usaha untuk membina sekolah masih menemui jalan buntu dan terpaksa ditundakan kerana menghadapi kesukaran memohon tapak sekolah. Ini mengakibatkan sekolah ini terpaksa meminjam bilik darjah sekolah kebangsaan berhampiran untuk jangka masa selama 10 tahun yang akan datang.
Bermula dari awal pembukaan sehingga tahun 1961, Sekolah ini merupakan sebuah sekolah persendirian yang terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kutipan yuran murid sebagai sumber kewangan yang utama. Baki atau kekurangan terpaksa ditanggung oleh pihak Lembaga Pengurus Sekolah yang bersusah payah memikul bebanan kewangan sehingga tahun 1962. Hanya selepas itu barulah sekolah mendapat peruntukan dari kerajaan. Keadaan ini mengizinkan Lembaga Pengurus Sekolah menumpukan sepenuhnya tenaga dalam usaha membangunkan sekolah dalam semua lapangan. Pada tahun 1959, Pihak Lembaga Pengurus Sekolah mematuhi arahan dari Jabatan Pendidikan mengenai penyelarasan ahli jawatankuasa Lembaga Pengurus Sekolah melantik En. Wai Kam Li PPN sebagai pengerusi yang baru. Sejak itu urusan sekolah berkembang dengan lebih menyeluruh dibawah teraju kepimpinannya. Pada tahun 1974, Persatuan Ibubapa dan Guru telah ditubuhkan. Penasihat PIBG ialah En. Wai Kam Li PPN dan En. Teoh Ah Hock dilantik sebagai pengerusi. Sejak itu, kerjasama dan bantuan dari PIBG membolehkan sekolah ini berkembang pesat, bermula dari pengasasnya pada tahun 1955 hingga kini. Lembaga Pengurus Sekolah sentiasa menerima sumbangan dari pihak orang awam dan pihak-pihak yang berkenaan untuk memohon tapak sekolah dan peruntukan kewangan. Di bawah ini disenaraikan sumbangan-sumbangan derma tersebut:
1. Mendapat kutipan derma membina bangunan sekolah sebanyak RM4000 dari orang awam pada tahun 1956.
2. Pada Februari 1964, pihak Jabatan Pendidikan membuat agihan peruntukan sebanyak RM7500 untuk pembinaan 2 bilik darjah.
3. Pada September 1964, Majlis Daerah Pekan meluluskan permintaan Lembaga Pengurus Sekolah membeli 6 setengah ekar tapak binaan.
4. Pada September 1967, Jabatan Pendidikan membuat agihan sebanyak RM7000 untuk membiayai perbelanjaan menambah 2 buah bilik darjah.
5. Pada tahun 1967, sekolah memperolehi derma dari orang awam untuk membina sebuah bilik Guru Besar dan sebuah bilik rehat guru.
6. Pada Ogos 1968, Ahli Dewan Undangan Daerah Maran, Negeri Pahang meluluskan agihan sebanyak RM2000 untuk kegunaan membina pagar sekolah.
7. Pada September 1968, kerajaan tempatan dan Menteri Masyarakat Datuk Michale Cheng Yong Sheng memberi peruntukan sebanyak RM7500 untuk kerja memasang pagar sekolah.
8. Pada tahun 1978, orang awam menderma sebanyak RM35000 kepada pihak sekolah untuk membina asrama guru, kerja mengecat dan peruntukan kelengkapan sekolah.
9. Jabatan Pendidikan menambahkan Peruntukan sebanyak RM2000 untuk membina tandas murid pada Februari 1979.
10. Kementerian Pendidikan meluluskan RM8000 untuk kerja menambah bilik darjah dan pejabat.
Kesemua rancangan di atas telah siap dibina secara beransur-ansur. Untuk menyelaras kemudahan infrastruktur sesuai dengan perkembangan sekolah, pihak Lembaga Pengurus sekolah telah memberi peruntukan sebanyak RM18000 untuk pembinaan sebuah bilik komputer pada tahun 1995.
Unisys (M) Sdn. Bhd dan orang awam menderma sebanyak RM30000 secara berasingan untuk pembinaan 2 bilik darjah yang baru, 1 stor simpanan dan 1 stor Kemahiran Hidup pada tahun 1996.
Dengan bantuan dari pihak PPD Maran, bilik rehat guru dan tandas guru telah dinaiktarafkan pada akhir tahun 1999. Bilik Guru Besar pula telah dinaiktarafkan pada akhir tahun 2000. Pada Mei 2002, atap bumbung 5 bilik darjah yang lama telah digantikan dengan yang baru dengan adanya peruntukan kewangan dari Menteri Pengangkutan YB Dato Seri Dr. Ling Liong Sik. Pagar sekolah telah dibaikpulih dan bina baru dalam Jun 2002 bawah bantuan pihak PPD.
Kini, sekolah mempunyai sebuah Prasekolah, 6 buah bilik darjah, sebuah bilik Guru Besar (Ubahsuai), sebuah bilik komputer , sebuah bilik Sains, rumah guru (PIBG) sebanyak 6 buah, sebuah stor KH, sebuah stor simpanan barang, 3 buah bangunan tandas, sebuah gelanggang bola keranjang dan sebuah padang kecil. Sekolah juga mendapat bekalan air dan elektrik yang sempurna. Untuk memenuhi keperluan yang lebih mendesak, sokongan dan bantuan yang berterusan dari semua pihak adalah amat diperlukan dan ia akan membolehkan sekolah ini maju setapak lagi.
SJK(C) Maran berada di alamat:
SJK(C) MARAN
26500 MARAN
PAHANG DARUL MAKMUR
Telefon : 09-4771832
FAKS 09-4771832